Setiap tahun, kita pasti tidak pernah tertinggal mengingati Hari Ibu, 20 Jun ini pula memperlihatkan sudah 7 tahun Hari Pelarian Sedunia disambut, iaitu hari yang menginginkan kita mengingati pelarian-pelarian di seluruh dunia dalam satu hari yang istimewa.
Hari Pelarian Sedunia adalah satu hari di mana kita menghargai dan mengenang semangat dan kesungguhan mereka untuk terus hidup. Dua pertiga daripada jumlah keseluruhan pelarian di dunia adalah hasil daripada perang saudara, pembunuhan kejam dan penghapusan etnik dan agama – yang dipaksa untuk merempat dan tidak boleh pulang ke rumah. Bagaimanapun, ramai antara mereka yang tidak pernah putus harapan. Meraikan semangat dan memberikan sokongan kepada mereka adalah objektif bagi Hari Pelarian Sedunia.
Kini genap 7 tahun dunia meraikan dan mengenang semangat pelarian-pelarian tersebut dalam satu hari yang istimewa. Namun, kadangkala kita mempunyai stigma terhadap mereka dan memberikan pandangan yang negatif serta menyangka bahawa mereka amat sukar didekati.
Mereka memerlukan ruang sebagai insan dan berkongsi kehidupan tanpa sebarang pandangan yang membuatkan mereka rasa tidak dipunyai.
Mereka tidak pernah memilih untuk menjadi pelarian, dan atas dasar apakah kita untuk menyimpan pelbagai pandangan ke atas mereka.
Itu semua tidak pernah menjadi batu penghalang bagi mereka untuk meneruskan kehidupan serta membina “rumah” di atas tanah tempat mereka berteduh, sementara menunggu sinar baru dari negara asal yang bakal kebah dek konflik peperangan dan ancaman alam.
Tahun ini memperlihatkan tema yang lebih praktikal iaitu Protection – Perlindungan. Tema tahun ini sememangnya bertepatan dengan hasrat UNHCR yang ingin memberikan perlindungan yang lebih baik kepada mereka.
Di Malaysia, UNHCR tidak putus-putus membantu 39,000 pelarian yang berdaftar dengan mereka bagi mendapatkan perlindungan dan suaka. Kira-kira 18,000 daripada 39,000 itu adalah pelarian dari 33 negara, 17 daripadanya ialah dari Afrika, menurut statistik yang dikeluarkan oleh mereka.
Bagaimanapun, pelarian dari 17 negara Afrika itu hanya membabitkan kurang daripada satu peratus daripada 18,000 pelarian itu. Negara-negara tersebut adalah Somalia yang kini dihimpit perang saudara; Liberia yang dalam proses pembinaan semula negara setelah bertahun dilanda perang; negara-negara yang kini sedang menghadapi penghapusan etnik, Rwanda, Burundi, Chad, Algeria dan Ivory Coast.
Menduduki tangga teratas dalam senarai pemohon suaka di Malaysia adalah pelarian Myanmar iaitu seramai 33,000 dengan jumlah teramai berbangsa Rohingya kira-kira 13,000. Mengikuti di belakang adalah dua buah negara lagi yang kini sedang bergolak, Sri Lanka- 1,300 dan 600 dari Iraq.
Kira-kira 68 peratus daripada pelarian dan pemohon suaka itu ialah lelaki. Terdapat kira-kira 10,000 pelarian berumur bawah 18 tahun, dengan 6,000 daripadanya dalam kumpulan umur bersekolah (7-17 tahun).
Malaysia tidak pernah mengiktiraf pelarian dan pemohon suaka dan juga bukan penandatangan Konvensyen 1951 berkenaan Status Pelarian ataupun Protokol 1967. Maka, UNHCR adalah badan yang bertanggungjawab bagi memberikan perlindungan serta bantuan suaka bagi pelarian di Malaysia.
Tiada penempatan rasmi ataupun kem pelarian di Malaysia. Pelarian-pelarian di Malaysia berkongsi ruang sehingga 20 orang di sesuatu tempat, sama ada di flat murah, perkampungan bandar mahupun perumahan bersama rakyat Malaysia. Pola penempatan mereka tertumpu kepada tapak-tapak pembinaan – tempat mereka bekerja, dan dalam khemah sementara di hutan Selangor.

Keadaan pelarian di Malaysia adalah rumit disebabkan status mereka dan tidak diikitraf, tiada akses kepada pekerjaan yang sah dan anak-anak mereka tidak layak mendapatkan pendidikan.
Tafsiran undang-undang Malaysia di bawah Akta Imigresen 1959/1963 tidak pernah memberikan penjelasan mengenai status pelarian dan pendatang asing tanpa izin yang masuk ke Malaysia bertujuan ekonomi.
Selain masalah utama terhadap akses kepada pekerjaan yang sah, tiada peluang dan ruang untuk pendidikan, mereka juga dihimpit dengan senario apabila ditipu oleh majikan yang memberi gaji yang sedikit dengan beban kerja yang berat. Ini membuatkan mereka tersepit di antara memilih untuk tidak bekerja ataupun terus kebuluran.
Jika diberi peluang, sudah pastinya mereka tidak mahu menjadi pelarian apakan lagi tidak mendapat pengiktirafan. Apa pilihan mereka, sedang mereka menanti sinar harapan agar konflik berakhir, kebuluran tidak berlaku, ketidakstabilan politik di tanah air mereka?
Memperbaiki pandangan kita terhadap mereka dan memberikan perlindungan kepada mereka akan membawa makna yang besar kepada mereka demi membina hidup baru. Mengapa perlunya kita berlandaskan pengiktrafan rasmi daripada kerajaan untuk membantu mereka? Berilah perlindungan kepada mereka seikhlas rasa di atas nama kemanusiaan. Kemanusiaan kita akan membawa kebajikan terhadap anak-anak mereka; peluang terhadap pendidikan, kesihatan dan hak pelarian wanita.
Mengapa tidak, tanggal 20 Jun ini, kita memberikan sedikit ruang dan peluang terhadap mereka untuk mendapatkan perlindungan dan akses kepada keperluan asas dengan baik tanpa sebarang prejudis. Atas nama kemanusiaan, kita berbakti kepada umat manusia yang memerlukan pertolongan kita.
Letakkan diri anda di tempat mereka, jika ini tidak akan pernah menjadi sesuatu yang mustahil, mungkin anda juga akan menumpang berteduh di laman orang lain dan mengharapkan belas ehsan untuk terus hidup dan mendapatkan perlindungan. Mahu sahaja kita dipunyai dan dibenarkan berteduh di situ. Dari sudut yang sama, kita juga mahukan mereka berperikemanusiaan.