Ramai pemerhati menggunakan media baru seperti online forum dan blog sebagai petunjuk kepada sentimen pengundi bahawa John Kerry akan menang besar semasa Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2004.
Manakala pihak Republikan pula menumpukan sepenuh usaha terhadap media tradisional dengan mendekati pengundi-pengundi konvensional secara fizikal dan George W Bush menang pada pemilihan tersebut.

Korea Selatan juga tidak terkecuali dalam penggunaan media baru untuk berkempen. Agensi berita melaporkan bahawa Roh Moo-hyun menang besar dalam kempen pemilihan presiden Korea Selatan kerana beliau menggunakan sepenuhnya potensi media baru dalam menentukan masa depan dan hala tuju politik Korea Selatan. Namun, sebuah kajian yang bertajuk, “Politik Internet: analisis perbandingan kempen pilihan raya presiden antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat” oleh Noriko Hara dan Youngmin Jo menyatakan bahawa tiada kesimpulan atau pun ketetapan dapat dibuat berdasarkan kajian tersebut. Salah satu alasannya adalah, ada yang beranggapan bahawa internet berpengaruh kerana aktiviti kesedaran politik secara online hanya mencetuskan sebuah ilusi bahawa perubahan dalam senario politik sedang berlaku. Kajian tersebut turut menyatakan kempen secara online hanya memberikan peluang kepada calon-calon yang mempunyai sumber-sumber terhad.
Namun kini 2008, dan Kempen Pemilihan Presiden Amerika Syarikat penuh dengan kejutan lagi. Kali ini, Internet menjadi tumpuan dan agenda. Setiap calon presiden, Republikan mahupun Demokrat mempunyai kempen online yang ampuh seperti blog, rangkaian sosial (myspace, friendster, facebook), YouTube dan banyak lagi yang digunakan untuk menarik perhatian pengundi.
Persoalan yang sering menjadi agenda adalah, adakah besar pengaruh kempen secara online ini terhadap pilihan raya seluruh dunia. Di Malaysia juga tidak terkecuali, persoalan ini sering bermain di minda setiap ahli politik, wartawan dan juga penganalisis politik.
Senario kempen secara online ini bermula di Malaysia pada tahun 1998, apabila Anwar Ibrahim dilucutkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Aktivis Reformasi yang kebanyakan daripada mereka tidak pernah dikenali, membina laman web yang menarik perhatian jutaan pengunjung untuk menuntut pembelaan Anwar.
Semasa pilihan raya 1999, ramai yang beranggapan bahawa internet akan memainkan peranan yang besar dalam menentukan pilihan rakyat. Sememangnya ia memainkan peranan yang besar namun, susah untuk menggangar ataupun tiada statistik yang signifikan. 2004 tiba, dan pengguna internet telah bertambah dengan mendadak dan secara kasar dengan mudah menyatakan bahawa mereka yang terpengaruh dengan kempen secara online turut bertambah. Namun, keputusan pilihan raya menyatakan hal sebaliknya. Walaupun usaha berterusan pihak pembangkang menyatakan isu dan agenda secara online, namun kerajaan tetap menang besar.
Setelah hampir empat tahun, persoalan yang sama juga ditanya lagi menjelang pilihan raya umum yang menjelang tiba. Suhu politik naik mendadak lagi kerana pilihan raya akan diadakan dalam masa lebih kurang sebulan, ini dapat dilihat secara online di mana blog-blog dan juga laman berita sibuk memperkatakan mengetengahkan pelbagai isu untuk memancing undi.
Sejak beberapa tahun lalu, ada perubahan yang besar dalam ruang siber Malaysia. Walaupun banyak blog dan juga forum dibangunkan oleh mereka yang tidak dikenali, namun, banyak juga blog rasmi dan laman berita dibangunkan dan dikendalikan oleh beberapa profesional dan nama-nama besar dalam arena politik. Kualiti topik perbincangan semakin meningkat dan diskusi secara online sudah menjadi tiada masalah.
Kenyataannya bahawa pilihan raya sudah tiba, dan juga semakin banyak isu sensasi, malah Blogger menetapkan agenda bahawa gelombang baru dalam senario politik sedang berlaku.
Ini telah menarik perhatian pelbagai pihak dengan menyatakan pelbagai persoalan yang menarik. Adakah internet telah mencapai satu tahap di mana para pengundi telah dipengaruhi secara signifikan? Bolehkah ia menentukan calon mana yang akan menang?
Ramai yang beranggapan bahawa internet tidak akan menentukan pilihan raya kelak. Secara amnya, internet telah berjaya membentuk pemikiran kesedaran politik yang baru di kalangan generasi muda dan kelas pertengahan urban namun ianya tidak akan sampai kepada majoriti pengundi Malaysia iaitu mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Isu demokrasi dan hak asasi belum mampu menarik perhatian pengundi muda..?
Semestinya, masalah teknikal antara penyebabnya seperti capaian jalur lebar yang terhad dan belum sampai ke tahap yang signifikan di kawasan pedalaman. Ada juga yang menyatakan bahawa media tradisional masih lagi menjadi penetap agenda walaupun satu ketika dahulu, ada yang beranggapan bahawa surat khabar akan pupus.
Atmosfera maya kepada kempen pilihan raya...
Ada juga yang menyatakan bahawa mereka yang berkempen secara online tidak menyatakan isu secara menyeluruh dan tidak mampu menarik minat majoriti pegundi. Tidak kurang juga mengatakan bahawa sentimen pengundi yang menentang kerajaan memerintah sekarang berdasarkan perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan sekarang seperti isu undang-undang dan keadilan, rasuah, kronisme, nepotisme dan lain-lain lagi.
Secara jujurnya, kritikan secara siber ini adalah hasil kepimpinan kini yang membuka pelbagai ruang dan peluang untuk didebatkan di dalam internet.
Hakikatnya, internet masih kecil dan hanya mampu diakses oleh kelas pertengahan dan tidak mudah untuk mengatakan bahawa internet memainkan peranan dalam pilihan raya kali ini. Mungkin dua atau tiga pilhan raya lagi, kita akan melihat hasilnya.
Internet juga dilihat sebagai berpengaruh tetapi hanya di sesuatu bahagian sahaja. Internet juga adalah saluran informasi kepada berjuta-juta anak muda di luar sana. Ahli-ahli politik yang bertanding haruslah memanipulasikan peluang yang terbuka luas ini dengan menarik minat pengundi-pengundi muda tersebut.
Calon-calon yang bertanding seharusnya membawa masuk kempen dan juga perang politik mereka di dalam internet selain menggunakan kaedah tradisional seperti perbincangan secara terus. Kurang bijak jika mereka tidak menggunakan internet sebagai ruang berkempen, dan mereka tidak akan bersedia jika tiada usaha dilakukan untuk membawa kempen mereka secara siber, maka kita akan lihat kekalahan mereka di dalam dua atau tiga pilihan raya lagi apabila ruang siber menjadi penentu kejayaan kempen mereka, kelak.
Ramai ahli politik masih lagi percaya dengan kekuatan berkempen secara tradisional dan ianya sangat menguntungkan untuk melihat wajah-wajah mereka dicetak di dada akhbar dan poster-poster daripada secara siber. Statistik memainkan peranan yang penting, dan ianya tidak signifikan jika secara siber. Ramai di kalangan ahli politik ini celik teknologi maklumat, malangya tidak menggunakan sepenuh potensi internet untuk mencari dan membaca pendapat umum mengenai mereka di dalam blog dan juga forum. Mereka tidak menggunakan sepenuhnya peluang di dalam internet sebagai alat untuk menyatakan pandangan, polisi mereka dan memahami perasaan pengundi dalam sesetengah isu. Mereka juga mengeluarkan kenyataan yang mereka tidak memerlukan para blogger dalam menentukan hala tuju kepimpinan mereka sedangkan yang sebenarnya mereka tidak memahami isu di ruang siber itu dan memerlukan masa untuk menjadi celik teknologi maklumat.
Analisis pengundi muda dan ruang maya...
Pengundi-pengundi muda menggunakan blog dan juga forum siber untuk mengetahui isu-isu ataupun agenda yang dibawa oleh ahli-ahli politik mahupun parti yang diwakilinya. Terdapat keraguan mengenai isu demokrasi dan hak asasi manusia, yang dilihat sebagai sentimen kurang menyengat bagi memancing golongan pengundi muda. Walau bagaimanapun, isu-isu remeh-temeh sehari-harian seperti kos kehidupan, jenayah dan pendidikan adalah isu yang menjadi perhatian mereka.
Ramai pemerhati mengatakan bahawa perbezaan fahaman politik adalah contoh di kalangan muda-mudi yang mereka mungkin membaca blog-blog politik sekali-sekala. Ini tak bermakna ia akan mempengaruhi senario pilihan raya kelak. Ramai yang beranggapan bahawa muda-mudi Malaysia kurang kesedaran politik. Ini dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan utama iaitu, mereka yang banyak membaca dan mendapat inspirasi untuk melakukan perubahan, mereka yang membaca berita dan tidak ambil putar mengenai suasana politik dan mereka yang bersikap “tidak apa”.
Ramai di kalangan muda-mudi ini mengakui bahawa kesedaran politik mereka sangat tinggi walaupun sebelum era blog dan juga forum online. Namun, setelah segala informasi di hujung jari, dan mereka sedar di pihak mana mereka berdiri, lahirlah inspirasi bagi mereka untuk mendaftar dan mengundi. Ramai yang membaca Malaysia Today, Malaysiakini dan Bersih.org. Mereka rasakan bahawa laman-laman ini lebih mudah dipercayai daripada kerajaan yang menghalang kebebasan informasi dan juga media arus perdana yang dilihat berat sebelah.
Suara alternatif, pandangan berbeza, menguatkan lagi kefahaman mengenai sesuatu isu...
Muda-mudi yang mempunyai kesedaran politik ini juga berkata, melaui laman-laman ini mereka mendapat satu pilihan alternatif terhadap isu-isu yang diketengahkan oleh pembangkang dan juga kerajaan. Peluang untuk mendapatkan pandangan yang berbeza membuatkan mereka lebih matang dalam memahami sesuatu isu.
Ada juga muda-mudi yang tidak mudah dipengaruhi. Mereka membaca setiap laman-laman politik namun, mereka tidak merasakan suatu kepentingan untuk bertindak. Bagi mereka, lama-laman tersebut belum terbukti kesahihan dan hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja. Mereka perlukan laman-laman seperti ini untuk membuat penilaian supaya mereka tidak dilabel sebagai dungu dalam suasana politik.
Bagi mereka yang bersikap “tidak apa”, mereka tidak pernah peduli apa yang sedang berlaku di ruang siber. Masa mereka banyak dihabiskan dengan bekerja daripada membuang masa membaca blog-blog politik. Ada juga beranggapan kemenangan sesuatu calon pilihan raya itu bukannya ditentukan melalui kempen berpanjangan di dalam ruang siber tetapi dilihat melalui bagaimana prestasi mereka ketika kempen pilihan raya. Malah mereka juga lebih suka untuk meninggalkan segala perbincangan dan isu-isu politik di meja-meja mamak. Kerana bagi mereka hidup itu lebih penting daripada berbicara mengenai politik yang tiada berkesudahan. .
Adakah ruang siber bakal menentukan pilihan raya yang bakal kunjung tiba kelak? Segala analisis telah dibuat dan juga percaturan telah dinyatakan, sama-sama kita saksikan adakah selama ini ruang siber berjaya membayangi suasana politik Malaysia, di hujung pengiraan undi Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac ini.